assalamualaikum


Wednesday, May 15, 2013

Allah, Pelihara diriku...



Assalamualaikum wbt..

     Sangat2 lama tak mencoretkan apa2 di sini. Terlalu banyak perkara yang dilalui, ketawa dan air mata mengiringi perjalanan hidup.  Hari ini, jari-jemari ingin mencatat peringatan untuk diri sendiri dan rakan yang lain juga.

     Manusia itu dilahirkan dalam keadaan fitrah yang suci dan bersih. Namun, apabila semakin meningkat usia, perkara yang buruk dan baik itu saling bertingkah seterusnya menjadikan setiap individu itu ada kebaikan dan keburukan dalam dirinya. Begitu juga dengan diri ini. Keburukan seseorang sering diungkit apabila berlaku pertelingkahan. Walhal kesalahan yang dilakukan hanya sebesar kuman dan bisa dimaafkan begitu sahaja. Itulah tugas syaitan yang sangat suka membisikkan hasutannya. Namun, kita sebagai makhluk mulia yang diciptakan Allah, bukankah lebih baik menggunakan akal dengan sebaik-baiknya.  Berfikir dahulu sebelum bertindak atau berkata-kata. Itu lebih disukai Allah. Silaturrahim itu yang lebih penting untuk dipelihara. Kita juga perlu sentiasa beringat, akal yang bersih akan memandu hati ke arah yang baik juga. Atau hati yang memandu akal? Tak kisahlah yang mana dulu, yang penting kedua-duanya penting untuk dijaga.
     
    Oleh itu, peliharalah akal agar sentiasa memikirkan tentang perkara yang positif. Fikirkan betapa Maha Penyayangnya Allah kepada kita, kerana Dia menganugerahkan kita orang2 yang mengasihi kita. Allah itu Maha Adi sifatnya. Maka, kita juga perlu bersikap adil terhadap diri sendiri dan orang lain. jika kita mahu Allah menjaga aib diri kita di akhirat nanti, maka didiklah diri untuk sentiasa menjaga aib orang lain.  Diri tidak akan menjadi tenang apabila kita menjaja aib orang lain, malah fikiran dan hati akan terus dihimpit perasaan yang tidak pernah puas dan amarah yang membelenggu. Ya Allah, semoga hamba-hamba-Mu ini dijauhkan daripada sikap sedemikian.

     Hakikatnya, saya juga tidak terlepas melakukan kesalahan seperti ini. Saya memohon maaf kepada rakan-rakan yang pernah tergurus dengan setiap percakapan dan tindak tanduk yang tidak menyenangkan di mata dan hati kalian. sememangnya saya akui, keburukan dalam diri ini melebihi kebaikan. namun, saya tidak berharap dacing amalan saya memberat kepada yang batil. Na'uzubillahi min zalik...=(

    Rasanya dah panjang jemari ni menaip. Semoga Allah membuka minda dan hati kita untuk sentiasa berlapang dada dengan setiap perkara yang berlaku. kalau orang sering berkata, ada udang di sebalik batu, maka kerapkanlah juga berbicara bahawa ada hikmah di sebalik setiap kejadian. In sya’ Allah.

Senyum selalu. :-)

Uhibbukum fillah.

Wassalam.

Monday, January 14, 2013

Jari Jemari Menari



Assalamualaikum wbt…
.
Berkurun lama jari jemari ni tak menari di atas papan kekunci. Cewahh!! Huhuhu. Bercuti di rumah sepanjang cuti persekolahan membuatkan saya tidak berkesempatan untuk mengintai blog si Jantung Hati.

Well, sekarang dah masuk tahun 2013, dan sekarang saya dah melangkah ke semester 5 pengajian. Huhuhu. Kalau dulu rasa macam masa lambat sgt berlalu, tapi sekarang, tggl lg 3 semester lagi untuk berjuang. Chaiyok2!!

Macam2 hal yang berlaku sepanjang sepanjang 3 tahun setengah saya berada di sini. Di sini tu di mana ya? Haaaa, cubalah cari sendiri.kikikiki. (>_<). Setiap yang berlaku menjadikan saya semakin matang kerana terlalu banyak berfikir. Huhuhu. Nasib lah uban tak tumbuh lagi. Mungkin tak cukup berfikir lagi kot. Huhuhu .

Apa2 pon, selamat berjuang kepada semua. Lumrah manusia memang akan menemui kegagalan dalam perjalanan, tapi kejayaan sentiasa menanti di hadapan. Jadi, Ganbateeee!!!

Sekian, wassalam.
Uhibbukum fillah.

Saturday, November 03, 2012

Aku Terima Nikahnya


Assalamualaikum wbt…

Sorry my dearest blog sbb tgglkn awak lame2. huhuhu. Sekarang adalah mode exam. Tapi, ambil kesempatan untuk tenggelam dalam kisah Aku Terima Nikahnya...lakonan mantap Adi Putra & Nora Danish. Memang macam hujan la air mata ni. huk3. (kebetulan sekarang memang hujan lebat). Tak nak cerita synopsis, tak syok. So, tengok sendiri, lebih uhm! =) 

Sekian, wassalam.
Uhibbukum fillah.

Tuesday, October 02, 2012

Saya Tunggu Awak II


~~“Saya bagi awak masa 3 hari. Kalau awak tak muncul depan mata saya, kita batalkan je pernikahan ni. Awak ingat senang-senang boleh tunda tarikh lain? kita dah nak kahwin lah awak! Lagi 2 minggu je lagi!  Bukan baru nak kenal-kenal, baru nak bertunang! Kahwin! Nikah! Awak faham tak??!”

Saiful menjauhkan telefon bimbit dari telinganya. Boleh pecah gegendang telinga kalau macam ni. Inilah padahnya kalau perempuan mengamuk. Sekali puting beliung Catarina datang. Aduh, macam mana nak pujuk ni.

Sorry Wafi… bukan saya sengaja suka-suka mintak tunda tarikh..tapi peluang besar depan mata sekarang ni… kalau saya berjaya dalam projek kali ni, saya berpeluang untuk kukuhkan kerjaya saya, cerahkan masa depan kita… awak tak payah kerja pun tak apa. Haaaaa! Kan best tu.hehehe.”

Saiful di sini sedang memasang angan-angan. Wafiyya di sana semakin menjeruk rasa. Saiful, awak memang sangat-sangat sengal. Sanggup awak buat saya macam ni. Awak ingat saya nak hidup mewah sangat ke? Saya dah lama hidup susah awak, membesar dalam suasana kampung, bermain lumpur di sawah bendang. Awak masih tak faham saya ke? Namun semua itu tidak terluah di bibir Wafiyya. Hanya hatinya yang semakin membengkak dengan tingkah tunang kesayangan. Kesayangan? Betul ke dia sayangkan aku? Kalau dia sayangkan aku, dia takkan buat aku macam ni. Matanya sudah berkaca.

“ Wafi? Ade lagi tak tu?” Diam.
“ Sayang…?” Diam lagi.
“ Wafiyya…maafkan saya kalau…”

“ Takpelah awak… mungkin Allah nak tunjukkan sesuatu di sini… mungkin hakikatnya, kisah kita sampai di sini saja… dan mungkin betul… kita perlu akhiri apa yang dah dirancang sebelum ni. Saya tak salahkan awak, dan takkan pernah salahkan awak. Saya yang tak mampu tanggung semua ni. Saya yang tak faham dengan kerjaya awak, apa yang awak impikan selama ni…” Suara si gadis bergetar di hujung talian. Sesak nafasnya demi mengatur bicara.

Saiful di sana tercengang mendengar butir kata yang terbit dari bibir Wafiyya. Dia mahu menuturkan sesuatu, tetapi seolah-olah tersekat di kerongkong. Ya Allah, apa yang harus aku lakukan? Hati di sana sudah benar-benar terluka.

“ Wafi…”
“Sudahlah awak… in sya’ Allah, saya akan cuba terima semua ni…awak jangan risau ye… biar saya yang terangkan pada mak saya, dan pada pakcik dan makcik… in sya’ Allah, mereka akan faham… dah bukan jodoh kita kan?” Tangisannya sudah tidak dapat dikawal lagi. Hatinya merintih pilu.

“ Wafi…saya tak bermaksud pun…”
“ Awak halalkan semua yang pernah kita kongsi bersama ye… saya pun dah halalkan… terima kasih atas segalanya… awak jaga diri baik-baik…kerja elok-elok… in sya’ Allah, awak akan berjaya…. Assalamualaikum…” Wafiyya mengakhiri bicara. Talian terus diputuskan. Telefon bimbit pemberian Saiful digenggam erat sebelum dipadamkan. Dia terus menyembamkan wajahnya ke katil. Nasib baiklah sedari tadi dia hanya berada di dalam bilik, kalau tidak, seisi rumah akan tahu perihal sebenarnya.

Saiful tergamam. Dia sama sekali tidak menyangka Wafiyya akan bertindak sebegitu rupa. Buah hatinya yang dikenalinya selama ini seorang yang sabar dalam melayan kerenahnya, sering menerima dirinya seadanya, kini seperti berbatu-batu jauh darinya. Malah sudah tidak nampak bayangnya.
Telefon bimbit terlepas dari genggaman. Wafiyya…

*********************************************************************************

“ Wafi, hang dah pikiaq masak-masak ka? Amirul tu muda lagi. Dia baru nak start kerja dia kat KL nu. Along bukan apa, takut-takut sat lagi hang nyesai, duk teghiak memanjang. Patutnya hang duk bincang 4 mata dulu dengan si Saiful. Ni dak, hang buat keputusan sendiri. Hang tak tau macam mana haghu perasaan dia nanti,” Wardina memandang simpati ke arah adiknya. Wafiyya pula sudah seminggu berkeadaan begitu, berkurung di dalam bilik, makan pula hanya apabila dia betul-betul terasa lapar. Seisi keluarga tidak mampu menjernihkan hatinya yang keruh.

“ 6 mata la Along, awat jadi 4 mata pulak?” Wafiyya berkata selamba.
Wardina tercengang. Lama-kelamaan barulah dia dapat menangkap gurauan adiknya itu. Dia menjegilkan mata sambil tangannya laju hinggap di lengan Wafiyya.

“ Aduh, sakitla Along..Wafi gurau ja. Sapa suh Along lampi sangat. Hehehe…” Wafiyya menggosok lengannya yang menerima cubitan bisa dari Wardina. Sekali-kala ingin bergurau, apa salahnya. Kakak sulungnya itu juga jarang pulang ke teratak mereka setelah mendirikan rumah tangga. Inilah masanya untuk mengukuhkan kasih sayang sesama adik-beradik.

“ Main-main lagi. Sat lagi Along panggil Saiful mai sini baghu hang tau.” Wardina mengugut Wafiyya, sekadar ingin melihat reaksi adiknya itu.

Senyum manis yang terukir di bibir Wafiyya sebentar tadi hilang apabila mendengar nama insan yang disayangi sepenuh hati itu. Tidak mungkin dia melupakan lelaki itu dalam sekelip mata. Lelaki yang telah berjanji untuk menggalas tanggungjawab arwah ayahnya. 6 tahun mereka membina hubungan bersulam cinta, 6 tahun Wafiyya memberi kesempatan untuk Saiful menstabilkan kerjayanya. Namun, masa itu tetap tidak cukup bagi seorang yang workaholic seperti Saiful. Dalam seminggu ini, sudah berkali-kali Saiful bertandang ke rumah mereka demi memujuk hati yang sedang berduka. Tetapi tidak sekalipun Wafiyya memberi peluang kepada lelaki itu untuk bersua muka dengannya. Keras benar hati gadis itu.

“ Along… in sya’ Allah… ini yang terbaik… Wafi bukan suka-suka buat keputusan lagu ni. Pasai Wafi pikiaq air muka mak, Along dan adik-adikla Wafi buat semua ni. Lagipun, Wafi yakin… mak, Along, Wardah…semua boleh terima keputusan Wafi ni kan?” Wafiyya menghadiahkan senyuman hambar kepada kakaknya. Dia berharap agar semua orang akan berlapang dada dengan keputusannya kali ini. Dia tahu, ibunya pasti memahami tingkah anak gadisnya yang seorang ini.

“ Hmm… Along tak tau nak cakap apa lagi dah.. Along nak hang happy ja.. kalau hang dah cakap lagu tu, Along terima ja lah… Along sokong Wafi..” Wardina duduk di sebelah Wafiyya dan memeluk bahu adiknya, menyalurkan semangat kepada adik yang sedang berdepan dengan masalah. Dia sebagai kakak yang sulung daripada 3 beradik itu cuba melakukan yang terbaik untuk mereka sekeluarga. Namun, Wafiyya sudah cukup besar untuk memikirkan baik dan buruk sesuatu perkara. Semoga Allah memudahkan urusan adikku ini... Wardina berdoa di dalam hati.

“ Terima kasih Along…” Wafiyya memandang kakaknya dengan rasa terharu. Inilah kakak yang sentiasa disanjungi.
“ Dah… sat lagi kan kita nak kluaq, nak cari barang yang tak cukup lagi. Hang pi mandi, macam apa dah Along tengok hang ni!” Giliran Wardina pula mengusik adiknya itu. Cepat-cepat dia berlari kelur dari bilik Wafiyya.
“ Alongggggggg!!!” Terdengar jeritan Wafiyya diiringi ketawa Wardina dari luar bilik.

*********************************************************************************

“ Macam mana ni mak… Epul dah tak tau macam mana nak pujuk Wafiyya tu.. mak tolonglah Epul mak…” Saiful pula semakin tidak keruan dengan tindakan kekasih hatinya itu. Sejak perbualan terakhir mereka di telefon seminggu yang lalu, sekalipun dia tidak dapat menghubungi Wafiyya. Telefon si gadis terus dimatikan. Dia telah mengambil cuti kecemasan selama beberapa hari untuk menyelesaikan masalah yang satu itu. Namun, Wafiyya langsung tidak memberikan sedikit pun kesempatan kepadanya untuk duduk berbincang. Dia sudah buntu memikirkan jalan penyelesaian bagi menjernihkan keadaan.

Pak Sahak dan isterinya Mak Kiah simpati melihat keadaan anaknya yang semakin kusut dan tidak terurus. Namun, mereka juga turut berasa marah dengan kerenah anak teruna mereka yang satu ini. Senang-senang nak minta tangguh tarikh perkahwinan?

“ Hang nak kami buat lagu mana lagi? Kami ni malu sangat pada keluarga Mak Milah hang tu. Ada ka patut hang pi mintak tangguh? Hang ingat soal nikah kawin ni macam makan kacang ka?? Epul, Epul…mak suka hang ada kerja besaq, gaji pon stabil… tapi mak tak suka hang mainkan perasaan anak dara orang. Abang, abang nasihat la pulak abak abang tu. Saya dah takdak kuasa nak melayan dah.” Sebaik menamatkan bicaranya, Mak Kiah bangun dari duduk dan berjalan ke biliknya. Saiful hanya memandang dengan rasa yang memberat. Kalau sudah ibu sendiri pun tidak mahu membantu, siapa lagi yang boleh diharapkan.

Pak Sahak sedari tadi hanya mendiamkan diri. Memang betul kata-kata isterinya itu. Anaknya itu seperti tidak berfikir panjang. Katanya seorang engineer, tahu mengukur sana sini. Tapi anaknya itu tidak mampu mengukur dasar hati Wafiyya. Malah, anaknya itu juga sudah biasa bertutur mengikut arus “orang KL”.  Nasib baiklah adab sopan seorang Melayu dan seorang yang beragama Islam tidak terhakis. Walaupun dia tidak mempunyai anak perempuan, namun dia adalah seorang suami kepada seorang isteri, anak kepada seorang ibu, adik kepada seorang kakak dan abang kepada adik-adiknya. Dia telah terlebih dahulu menikmati pelbagai rencah kehidupan. Namun dia sedar, manusia itu tidak lepas daripada melakukan sebarang kesilapan. Sebagai seorang bapa, dia harus bertindak dengan bernas.

“ Sudahlah Saiful. Hang pi balik KL dulu. Hang kata hang cuti berapa hari saja kan? Ni dah seminggu. Apa kata majikan hang nanti. Dah elok-elok dia percaya kat hang, hang pulak buat hal tak masuk kerja. Hang toksah nak pening kepala sangat. Kalau dah Allah tetapkan jodoh hang dengan si Wafiyya tu, kawin jugak hangpa nanti. Cepat ka lambat, semua Allah dah tetapkan. Cumanya, hang banyak-banyak lah berdoa pada Allah, moga-moga Allah mudahkan mana yang susah. Sudahlah, hang pi la masuk tidoq. Da lewat dah ni.” Pak Sahak menepuk bahu anaknya berulang kali, sedikit menenangkan hati anaknya yang gundah. Sejurus itu, dia mengatur langkah memasuki kamarnya.

Sedikit sebanyak Saiful terkesan dengan kata-kata luhur dari bapanya. Betul, sekarang ini sepatutnya dia tabahkan hati dan mendekatkan diri dengan Allah yang Maha Mendengar. Namun, kerana terlalu asyik dengan kesibukan kerja, dia bukan sahaja mengabaikan perasaan Wafiyya, malah dia leka dalam soal ibadah dan penghambaan diri kepada Yang Esa. Walaupun tidak sampai meninggalkan solat, namun solat di waktu kemuncak sudah menjadi kebiasaan bagi dirinya. Ibadah-ibadah sunat yang sering dilaksanakan dahulu sudah ditinggalkan. Ya Allah… lekanya aku dengan nikmat dunia yang sementara ini..

Dalam menungannya itu, kenangannya bersama Wafiyya menggamit ingatan. Dia teringat akan kata-kata Wafiyya suatu masa dahulu.
“ Awak, saya tak ada apa-apa yang boleh awak jadikan sandaran. Kerana saya hanya seorang perempuan yang seharusnya bersandar pada awak. Kalau suatu masa nanti, in sya’ Allah, kita ditakdirkan bersama… saya akan berusaha menjadi isteri yang solehah dan ibu yang baik pada anak-anak awak… dan yang paling penting, in sya’ Allah..saya akan setia di sisi awak..sebab saya adalah Wafiyya, yang setia..tapi awak kena ingat tau. Kalau awak main-mainkan saya, there is no turn back! Faham?!” Wafiyya menjegilkan mata kepada Saiful, seolah-olah memberi amaran. Dalam masa yang sama, dia berniat untuk bergurau dengan kekasih hatinya.

“ Uish, amaran keras la ni eh? Hehehehe.. in sya’ Allah… saya janji dengan awak, saya takkan sia-siakan awak, Wafiyya. Sebab saya tahu, hati awak hanya untuk saya. Dan hati saya juga hanya untuk awak. Dan kita berdua, adalah milik Dia..itu yang awak selalu cakap pada saya kan? Ingatan saya ni kuat tau.hehehehe,” Saiful turut menyambut gurauan si jantung hati. Dia juga yakin akan kata-katanya sendiri, tidak mungkin dia mampu untuk memiliki gadis yang lain seperti Wafiyya. Dan dia berjanji pada dirinya bahawa hanya Wafiyya yang akan menjadi suri hidupnya.

Air mata lelakinya menitis di pipi. Bagaimana janjinya pada Wafiyya dahulu? Ya Allah…kenapa aku tak fikir dahulu sebelum berkata-kata… aku dah hancurkan impian dia… aku dah musnahkan angan-angan kami… Ya Allah… beri aku kesempatan untuk memperbaiki keadaan… aku sayangkan dia Ya Allah… kuatkan jodoh kami… hanya itu yang aku pinta Ya Allah…
Saiful mengesat air mata yang bersisa, lalu bangkit dari duduknya. Tujuannya sekarang hanya satu, iaitu mempersembahkan diri kepada Allah Maha Besar. Semoga Allah mendengar rintihan hatinya, menenangkan gelodak jiwa, dan memakbulkan doanya…

*********************************************************************************
Bunga manggar sudah siap dipacak. Khemah sudah didirikan semalam. Kamar pengantin juga sudah siap dihias cantik bertemakan warna ungu kesukaan raja sehari. Rumah Mak Milah sudah dipenuhi jiran tetangga awal pagi lagi bagi membantu melicinkan perjalanan majlis. Beginilah hidup berjiran, saling membantu dan lengkap-melengkapi. Jika ada yang kurang, pasti ada yang berbesar hati menambah apa yang patut. Suasana riuh rendah memeriahkan hari yang bahagia.

Lain pula ceritanya di kamar pengantin. 3 beradik berkumpul bagi menenangkan pengantin perempuan yang sedang menahan debar. Jari-jemari yang berinai sejuk seperti ais apabila disentuh.
“ Kak Wafi, betul akak tak menyesal buat lagu ni? Wardah tak mau akak duk sedih lagi lepas ni…” Wardah memandang wajah kakak yang disayangi. Dia juga tidak menyangka perkara seperti ini akan terjadi. Kalaulah dia berada di tempat kakaknya, mampukah dia mengambil keputusan sedemikian?

Wafiyya pula hanya tersenyum kecil membalas kata-kata adiknya. Sudah banyak kali keputusannya dipersoalkan, namun hatinya tetap tidak goyah. Ini yang dia mahukan. Ini yang dia dan Saiful mahukan. Ini yang terbaik untuk mereka berdua. Tiba-tiba hatinya dipagut sayu. Saiful datang tak hari ni? Macam mana keadaan dia sekarang? Maafkan saya awak.. saya terpaksa buat macam ni..
“ Akak…?” Wardah menyentuh jemari Wafiyya apabila setitis air mata jatuh ke pipi kakaknya. Hati kakaknya masih belum terubat. Itu yang difikirkan saat ini. Wardina juga turut menggenggam tangan kedua-dua adiknya.

“ Wafi…Along sentiasa doakan kebahaagian Wafi…kebahagiaan Wardah… apa pon yang terjadi, kita orang perempuan ni kena kuat? Tau?” Wardina menyalurkan kata-kata semangat kepada adik-adiknya.
“ In sya’ Allah Along…Wardah… ini yang terbaik..” hanya itu yang mampu dituturkan oleh Wafiyya saat itu. Semoga apa yang berlaku pada hari ini mampu menjernihkan keadaan yang sedia keruh.
Bunyi paluan kompang berkumandang di luar sana. Pengantin perempuan menjadi semakin berdebar. Ketiga-tiga beradik memandang antara satu sama lain. seketika kemudian mereka tersenyum sesama sendiri. Wardina, Wafiyya dan Wardah keluar dari kamar pengantin. Dalam hati masing-masing berdoa agar semuanya akan berjalan dengan lancar.

Beberapa lama kemudian, acara akad nikah berlangsung. Dengan dua kali lafaz, mereka telah sah menjadi pasangan suami isteri. Mak Milah duduk di samping anaknya mengalirkan air mata kegembiraan. Detik ini, dia teringat akan arwah suaminya. Abang, anak kita dah kahwin…sendu hati tuanya. Wardina yang berada di sisi ibunya mengusap belakang badan ibunya, seperti memahami perasaan si ibu sekarang.

Saiful hadir lewat ke majlis tersebut. Dia hanya menyaksikan kemeriahan majlis itu dari jauh. Ajakan ibu bapanya untuk masuk ke dalam rumah pengantin ditolak lembut. Mana mungkin dia sanggup melihat insan yang pernah dimiliki hatinya berkahwin dengan lelaki lain. Namun, dia redha dengan segala ketentuan yang Allah takdirkan untuk dirinya. Dia tidak menyalahkan sesiapa. Ini semua adalah pengajaran bagi dirinya.
Dia berkira-kira untuk bergerak pergi, dan akan terus pulang ke Kuala Lumpur. Namun, tidak sampai beberapa langkah, dia ditegur dari belakang.

“ Assalamualaikum…”
Suara itu, seperti ku kenal. Tapi di mana ya? Tak kanlah…
“ Awak dah tak sudi nak pandang saya? Awak pulak merajuk dengan saya…” suara itu bergema lagi.
Dadanya bergetar hebat. Suara itu suara gadis kesayangannya. Tapi, mestilah dia datang jumpa aku dengan suami dia. Haish, apa aku nak buat ni. nak jalan terus macam x sopan pulak. Saiful berkira-kira di dalam hati.

“ Awak pandanglah saya sekejap..kalau awak nak pergi lepas ni, pergilah…” sayu sahaja suara itu bergemersik di telinganya.

Perlahan-lahan Saiful memusingkan badannya menghadap ke arah si gadis. Ya, memang betul, Wafiyya lah orangnya. Tapi… kenapa macam ada yang tak kena aje. Saiful memandang gadis itu dari atas ke bawah. Akhir sekali, pandangannya berlabuh ke wajah itu dengan bermacam-macam soalan.

“ Apa awak buat kat sini Wafi? Mana suami awak? Cepatnya awak salin baju. Kan ramai lagi orang yang datang nak tengok pengantin. Awak jangan risau, saya dah dapat terima kenyataan yang kita tak ada jodoh… awak pergilah pada suami awak… saya doakan semoga awak bahagia hingga ke akhir hayat Wafi… selamat pengantin baru…” Saiful menundukkan wajahnya yang suram. Tidak sanggup lagi untuk bertentang mata dengan gadis itu. Dia mendengar keluhan berat dari bibir Wafiyya.

“ Dah habis cakap?” suara itu kedengaran bersahaja.

Saiful mengangkat wajah, menentang mata Wafiyya yang redup.
“ Haaa?”
“ Saya tanya, awak dah habis cakap? Awak ni memang tak berubah kan. Cakap melulu je. Tak fikir habis-habis dulu.”

Saiful tahu, Wafiyya memerlinya dalam diam. Dia tersengih seperti kerang busuk.

“ Dah memang betul kan apa yang saya cakap?huhuhuhu..” Saiful mempertahankan diri.

Wafiyya tersenyum kecil menanggapi kata-kata lelaki di hadapannya itu. Betapa dia rindu untuk menatap seraut wajah yang memenuhi hatinya dahulu hingga sekarang.

“ Itulah…pakcik dan makcik dah ajak awak masuk rumah kan? Awak yang taknak ikut. Mengada-ngada lah tu.. awak dah tengok kad jemputan kahwin yang baru tu?”

“ Dah…” Saiful menjawab tidak bermaya.

“ Siapa pengantin lelakinya?” Wafiyya bertanya lagak seorang guru bertanya kepada anak muridnya.
“ Amirul…”
“ Pengantin perempuan?”
“ Siapa lagi? Awaklah!” Saiful menjawab geram. Hish, dia ni nak main-main dengan aku pulak. Ingat aku ni budak sekolah rendah ke.

“ Betul ke… cer awak tengok betul-betul…” Wafiyya menghulurkan sekeping kad jemputan kepada Saiful.
Saiful menyambutnya perlahan-lahan. Layankan saje lah perempuan ni. Saje je nak sakitkan hati aku.
“ Haaa. Awak dengar saya baca kuat-kuat ni. Amirul Hafiz dan Wardah!” Saiful membaca dengan kuat. Tiba-tiba dia terdiam. Cepat-cepat dia memandang kad tersebut sekali lagi.

“ War…War…Wardah…Wardah? Wardah tu kan adik awak? Jadi, yang nikah kat dalam tu…Wardah? Bukan awak? Wafi?” Saiful benar-benar kebingungan. Apa yang terjadi sebenarnya?

Wafiyya tertawa kecil melihat wajah kebingungan itu. Tidak menyangka sebegitu buruk sekali reaksi yang dipamerkan. Sempat lagi hatinya mengutuk.

“ Pertama sekali, saya mintak maaf dengan awak… saya tahu apa yang saya lakukan pada awak ni menyiksa hati awak..bukan awak aje tau..hati saya jugak…sebenarnya, saya mintak izin dari mak untuk langsungkan perkahwinan Wardah dan Amirul dulu..lagipun diorang memang suka sama suka…jadi saya pun tukar plan last minute … family Amirul datang merisik, bertunang…dan hari ni, diorang pun kahwinlah. Pakcik dan makcik pun tahu pasal ni… Cuma saya yang tak benarkan diorang bagitahu pada awak… sebab saya nak bagi pengajaran pada awak… dan, saya kan dah janji nak tunggu awak… “ Wafiyya menjelaskan perkara sebenar. Dia memandang wajah Saiful, menantikan kata-kata yang bakal terluah dari bibir lelaki itu.

Tiba-tiba, Saiful berlari meninggalkan Wafiyya dan memasuki rumah raja sehari. Wafiyya pula terkejut dengan tindakan lelaki itu. Kenapa mamat ni? Dah tak betul ke? Takkan lah… Wafiyya menjadi gusar.
Selang beberapa minit, Saiful berlari kembali ke arah Wafiyya. Orang ramai yang melihat mempamerkan wajah tertanya-tanya.

Saiful menyembunyikan sesuatu di belakang badan dengan tangan kanannya. Wajahnya serius. Wafiyya pula semakin kalut memikirkan apa yang akan dilakukan oleh Saiful. Nak balas dendam ke?

Tidak semena-mena, Saiful berlutut di hadapan Wafiyya. Wafiyya pula cepat-cepat memejamkan mata, takut untuk menyaksikan apa yang bakal terjadi.

“ Wafiyya binti Ismail, sudikah awak menerima saya kembali dalam hidup awak? Menjadi imam kepada awak dan anak-anak kita nanti? Dan menjadi pencinta yang setia kepada saya?” Saiful bersungguh-sungguh melafazkan kata-kata yang ikhlas dari hatinya.

Wafiyya terus membuka matanya luas-luas. Dia melihat wajah Saiful yang penuh pengharapan, di samping tangan kanannya menghulurkan sekuntum bunga… telur. Bunga telur?
Orang sekeliling yang melihat adegan itu sudah ketawa terbahak-bahak. Tidak kurang juga ada yang bertepuk tangan.

“ Terima sajelah!” suara-suara sumbang bersahut-sahutan.
Wafiyya terkedu dengan tindakan mengejut Saiful itu. Dia ingin ketawa, tetapi melihatkan kesungguhan lelaki di hadapannya itu, dia membatalkan niatnya.

“ Saya akan terima…dengan syarat…” Wafiyya bermain kata.
“ Awak letaklah syarat apa pun. Saya janji saya akan ikut.” Saiful bersungguh-sungguh menyakinkan Wafiyya.
“ Jangan janji…tapi in sya’ Allah… pernikahan kita mesti berlangsung dua minggu dari sekarang. Tak ada tunda-tunda lagi. Ok?”
“ Alah… dua minggu?”
“ Haaa. Tengok tu. Tadi bukan main berjanji.” Wafiyya tidak puas hati.
“ Kenapa bukan minggu depan je? Mak, abah! Epul nak kahwin dengan Wafi minggu depan! Tak kira!” Saiful melaung memanggil ibu dan bapanya. Mata Wafiyya terbeliak melihat perangai tiga suku jantung hatinya.

Mak Kiah dan Pak Sahak yang terdengar laungan anak mereka dari dalam rumah hanya ketawa geli hati.
“ Berbesan jugak kita Milah…alhamdulillah..” Rupa-rupanya perbincangan dua belah pihak telah pun berlangsung di dalam rumah. Mak Milah dan Wardina pula tersenyum gembira. Alhamdulillah… mesti Wafi gembira kan sekarang. Wardina berkata dalam hati.

 “ Terima kasih sayang…sebab awak setia menunggu saya… in sya’ Allah… saya akan cuba jadi yang terbaik untuk awak… hanya untuk awak Wafiyya, yang setia…” Saiful menghadiahkan senyuman paling manis kepada sang puteri. Tekadnya di dalam hati, tidak ada lagi yang perlu ditangguhkan. Semuanya harus disegerakan. Wafiyya di sisinya sudah pun mengalirkan air mata. Gembira dan terharu. Itu yang dirasakan sekarang. Ya Allah, jika ini ganjaran atas pengorbanan yang aku lakukan… terima kasih Ya Allah.. pimpinlah kami menuju redha-Mu…

Sehelai sapu tangan dihulurkan kepada Wafiyya bagi menghapus air mata itu buat selama-lamanya. Pergilah duka… hadirlah bahagia.

P/S: inilah keinambungan dari Saya Tunggu Awak…=)



Sunday, September 30, 2012

Assalamualaikum wbt…

Sekian lama menyepikan diri..akhirnya muncul kembali…(^_^)
Bukan sengaja, tapi terpaksa. Terlalu banyak urusan dunia yang membelenggu. Cewah! Huhuhu.

Entry kali ni, saya nak mempersembahkan sesuatu untuk teman2 semua. Jeng3!!! Hahaha. Tak yah nak gempak sangat lah kan. =P

Saya sebenarnya memang minat sangat2 nak menghasilkan karya, terutamanya cerpen. (novel macam hebat sangat la kan). So, saya pun berusaha untuk menghasilkan sebuah cerpen yang tak seberapa. Huhuhuhu. Actually da berbulan-bulan. Saya dah post kat penulisan2u. lama sangat dah. Jadi, selamat membaca kepada semua pada entry yang sebelum ini. huhuhu

Klik sini. (^_^)

Sekian
Uhibbukum fillah
Wassalam

Saya Tunggu Awak


“Awak..tak boleh ke kita cepatkan pernikahan kita…?”

            Wafiyya memandang tunangnya lama, kemudiannya melemparkan pandangan ke arah dua ekor anak kucing yang sedang bermain berhampiran mereka. Sungguh, fikirannya saat ini hanya memikirkan perkara yang satu itu. Kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk melangsungkan walimah mereka selepas 6 bulan pertunangan. Tempoh 6 bulan itu sangat lama bagi Wafiyya. Wafiyya dan Saiful telah berkasih selama 6 tahun. Masakan hati perempuannya sanggup menunggu lagi untuk kesekian kalinya.

            Saiful menghembuskan nafas perlahan. Matanya yang kuyu cuba menebak perasaan buah hatinya ketika itu. Bukannya dia tidak mahu, bukan dia tidak memahami apa yang dirasakan oleh Wafiyya. Hakikatnya mereka berkongsi rasa yang sama. Resah, gelisah, rindu, sayang, gembira saling bertingkah. Namun, sebagai seorang lelaki yang bakal memikul tanggungjawab yang besar di kemudian hari, dia harus berfikiran matang dan rasional.

“Wafi…rumah kita berselang tiga buah rumah saje tau..kalau awak nak, tiap-tiap hari saya boleh jenguk awak. Awak pun tak ke mana-mana kan?” Saiful menguntum senyuman nakal, sengaja mengajak kekasih hatinya bergurau.
“Atau awak nak kurung saya dalam rumah ni..?Saya on je!! Bolehlah saya makan masakan awak tiap-tiap hari.hehehe.”

            Saiful semakin giat menyakat Wafiyya. Namun, Wafiyya membalasnya dengan jelingan tajam dengan wajah yang mencuka. Bukan ini masanya untuk bergurau, cik abang ooii!!! Gadis itu mengeluh lalu bangun dari duduknya. Dia berjalan perlahan-lahan menjauhi Saiful yang sedang duduk berjuntai kaki di teratak kecil di hadapan rumah Wafiyya. Setelah beberapa langkah, dia berhenti dan berdiri menghadap tunangnya sambil berpeluk tubuh.

“Awak, saya tak main-main lah…serius ni…lagi 3 bulan awak outstation ke Jepun…duduk kat sana pulak 2 bulan…tuptap tuptap awak balik sini kita terus nikah…dalam tempoh tu saya, keluarga awak dan keluarga saya saje yang bertungkus-lumus buat persiapan. Awak pulak sibuk dengan urusan kerja. Bukan saya nak merungut..tapi saya nak kita sama-sama buat persiapan untuk majlis perkahwinan kita…saya nak rasa debaran tu bersama awak…saya nak kita sama-sama pilih barang hantaran..cincin..baju..awak tak nak ke semua tu, Saiful?”

             Sekali lagi dia menghembuskan nafas berat. Puas hatinya dapat meluahkan apa yang terbuku. Matanya tidak lepas memandang tunangnya. Dia akui, Saiful memiliki raut wajah yang menyejukkan mata dan hati, selain memiliki hati yang luhur dan berbudi pekerti. Siapa yang tidak akan terpaut pada jejaka seperti itu, termasuklah Wafiyya sendiri, dan dia insan bertuah kerana berjaya memikat hati lelaki itu.

            Saiful menghadiahkan senyuman dari hatinya kepada Wafiyya. Sayang2, macam2 lah awak ni…Saiful bermonolog dalam hati.
“Wafi, awak tau kan saya kerja makan gaji…saya bukan bos besar kat syarikat tu..saya ni engineer cabuk je…bila saya dapat peluang macam ni, takkan saya nak sia2 kan saje? Bos saya letakkan harapan yang tinggi pada saya…dan ini amanah yang perlu saya pikul, sayang…bukan bermaksud saya ketepikan awak..tapi saya lakukan semua ni untuk masa depan kita jugak..awak faham kan keadaan saya sayang?” Saiful menentang sepasang mata Wafiyya penuh kasih. Harapannya agar Wafiyya dapat memahami keadaannya ketika ini.

            Wafiyya membalas renungan lelaki itu. Bukan dia tidak faham akan tugas tunangnya yang sentiasa memerlukan pengorbanan masa dan tenaga. Lelaki itu juga sedang berusaha membina kerjaya yang kukuh. Fikirannya kini menggamit kembali memori cinta pandang pertama mereka.
******************************************************************************
            Ketika itu, Wafiyya sedang membantu ibunya bercucuk tanam di tepi halaman rumah mereka. Kebetulan ketika itu, sebuah kereta mewah berwarna hitam berkilat berhenti di hadapan rumah mereka. Saiful keluar dari tempat duduk pemandu dengan bercermin mata hitam.  Dia melangkah ke arah anak-beranak itu dengan langkah yang cermat.

“ Assalamualaikum makcik..tumpang tanya boleh?” Saiful menegur ibu Wafiyya, Mak Milah. Sambil itu, matanya menyorot ke arah gadis manis bertudung litup di belakang ibunya. Nasib baik dia memakai kaca mata hitam, kalau tidak, mesti dia dituduh bermata keranjang.

“ Waalaikumussalam…ya encik, nak tanya apa?” Mak Milah berasa segan dengan tetamu yang tidak diundang itu. Sudahlah pakaian mereka sudah dikotori tanah dan berbau peluh, lelaki yang berada dihadapan mereka pula segak berkemeja dan berseluar slack. Wafiyya pula hanya menundukkan kepala.

“Eh..makcik, jgnlah berencik dengan saya...mak cik dah tak ingat kat Saiful lagi ke? Saiful anak Pak Sahak. Selang 3 buah rumah ni je..” Saiful menanggalkan kaca matanya, lalu menghadiahkan senyuman ikhlas kepada kedua beranak itu. Mak Milah cuba meneliti raut itu, mata tuanya dikecilkan bagi mendapatkan kepastian. Wafiyya di belakangnya sudah membeliakkan mata. Masakan dia lupa, anak teruna ketua kampung yang menjadi gilaan gadis-gadis. Malah, dia juga tidak terlepas dari memasang angan-angan itu.

“ Astaghfirullah…Saifull!!! Besaq dah hang na!!! mana la nak kenai, hang pi pakai spek mata hitam. Segak hang na!!! hang kerja apa la ni? Eh, maila naek. Paneh la tgh2 hari ni.mai2!! Wafi, hang pi masuk dapuq, jeghang ayaq. Hidang apa yang patut. Mai kita naek Saiful.” Mak Milah bersungguh-sungguh mengajak anak muda itu. Wafiyya pula hanya tersenyum kecil menyambut kata-kata ibunya, lalu melangkah menaiki tangga rumah mereka.

“Eh, makcik2…tak payahlah..saya singgah kejap je ni..kebetulan nampak makcik dengan… siapa nama tadi??” Saiful cuba memancing perhatian Wafiyya. Nampaknya ada hati yang telah tersangkut.

“ Haaa. Ni anak makcik yang kedua. Wafiyya. Hang tak kenai kot. Dia ni pon baru habih blajaq kt Selatan nu.” Wafiyya hanya mendengar kata-kata ibunya, tidak berniat untuk menyampuk. Dia hanya mengangguk sedikit sebagai tanda perkenalan kepada Saiful sedangkan dia telah mengenali jejaka itu sejak di bangku sekolah lagi.

“ooh..patutla macam tak pernah nampak..mmmm.oklah makcik, saya beransur dulu ye. Mak dengan ayah mesti risau kat anak diorang ni yang tak sampai2 lagi ni,” Saiful ketawa kecil dan disambut oleh Mak Milah. Wafiyya pula sekadar tersenyum sopan.
“Takpalah kalau lagu tu. Ada masa nanti hang singgah lagi na! Satgi makcik masak sedap2!!hehehe.”

“In  sya’ Allah…oklah makcik…Wafiyya...assalamualaikum..” Saiful menyalami tangan Mak Milah. Matanya kembali menyorot gadis manis itu. Kedua-duanya saling bertentang mata. Dalam hati ada taman lah jawabnya.
******************************************************************************
            Wafiyya tersengih sendiri mengingatkan peristiwa itu. Tidak disangka-sangka, dari mata turun ke hati. Kini, mereka telah sama-sama mengikat tali pertunangan, hanya menunggu masa untuk diijabkabulkan.
“Wafiyya?” Saiful melambai-lambaikan tangan di hadapan muka Wafiyya. Sempat lagi berangan sayang saya ni.

            Wafiyya tersentak. Pipinya merona merah. Namun, senyuman manis masih bergayut di bibir.
“Awak berangan eh? Hehehe. Kuat berangan jugak awak ni. Entah2, dulu pun awak selalu berangan tentang saya tak?” Saiful serkap jarang. Pipi Wafiyya kembali membahang. Tangan kirinya memulakan kerja mencari sasaran.  Saiful pula sudah mengorak langkah menjauhi gadis itu sambil ketawa galak.  Selama 6 tahun menyulam kasih, cubitan ketam batu si gadis sudah sebati dalam dirinya. 3 hari baru hilang kesan cubitan. Dahsyat betul penangan Wafiyya.

“Dahla sayang!! Penatlah tengah2 hari main kejar2..tu Mak Milah dah jenguk kat tingkap tu…huhuhu..kita berenti ek..”
            Mak Milah yang menjenguk di tingkap hanya mengulum senyum melihatkan kerenah merpati sejoli itu. Indahnya zaman muda-muda bercinta. Namun, batasan tetap perlu dijaga.

“ Siapa suruh awak menyakat saya? Kan dah kena. Wekkkkkkkkkkk!!Hehehe.” Wafiyya ketawa menampakkan barisan gigi yang cantik. Saiful pula menatap wajah kesayangannya itu. Dia akan merindui tawa dan rajuk gadis itu.
“Awak, yakin dan percaya pada saya ye..awak akan tunggu saya balik dan menikahi awak…saya akan mengambil alih tugas arwah ayah awak, Wafiyya…saya janji pada awak..in sya’ Allah.”

            Wafiyya terharu mendengar kata-kata Saiful. Terima kasih awak, awak jangan risau..saya sentiasa yakin dan percaya pada awak..saya akan tunggu awak balik..saya janji..saya sayang awak, Saiful..

“ Saya pon sayang awak jugak…jangan ingat saya tak tau apa yang ada dalam fikiran awak tu sayang..hehehe.” Saiful tersengih menayangkan giginya. Wafiyya pula menguntum senyuman malu.

“Saiful!! Wafiyya!! Sudah la tu. Hangpa tak nampak matahari atas kepala tu?? Sat lagi cayak dua2!! Mai naek makan!!”

            Mak Milah sudah mengeluarkan arahan. Tiada siapa yang boleh membantah. Saiful dan Wafiyya berpandangan sesama sendiri sambil ketawa geli hati. Mereka pun beriringan menapak masuk ke dalam rumah. Di dalam hati masing-masing berdoa agar saat-saat ini akan disusuli dengan seribu satu rahmat dari Ilahi.

P/S: nantikan sambungannya!! (^_^)