assalamualaikum


Tuesday, October 02, 2012

Saya Tunggu Awak II


~~“Saya bagi awak masa 3 hari. Kalau awak tak muncul depan mata saya, kita batalkan je pernikahan ni. Awak ingat senang-senang boleh tunda tarikh lain? kita dah nak kahwin lah awak! Lagi 2 minggu je lagi!  Bukan baru nak kenal-kenal, baru nak bertunang! Kahwin! Nikah! Awak faham tak??!”

Saiful menjauhkan telefon bimbit dari telinganya. Boleh pecah gegendang telinga kalau macam ni. Inilah padahnya kalau perempuan mengamuk. Sekali puting beliung Catarina datang. Aduh, macam mana nak pujuk ni.

Sorry Wafi… bukan saya sengaja suka-suka mintak tunda tarikh..tapi peluang besar depan mata sekarang ni… kalau saya berjaya dalam projek kali ni, saya berpeluang untuk kukuhkan kerjaya saya, cerahkan masa depan kita… awak tak payah kerja pun tak apa. Haaaaa! Kan best tu.hehehe.”

Saiful di sini sedang memasang angan-angan. Wafiyya di sana semakin menjeruk rasa. Saiful, awak memang sangat-sangat sengal. Sanggup awak buat saya macam ni. Awak ingat saya nak hidup mewah sangat ke? Saya dah lama hidup susah awak, membesar dalam suasana kampung, bermain lumpur di sawah bendang. Awak masih tak faham saya ke? Namun semua itu tidak terluah di bibir Wafiyya. Hanya hatinya yang semakin membengkak dengan tingkah tunang kesayangan. Kesayangan? Betul ke dia sayangkan aku? Kalau dia sayangkan aku, dia takkan buat aku macam ni. Matanya sudah berkaca.

“ Wafi? Ade lagi tak tu?” Diam.
“ Sayang…?” Diam lagi.
“ Wafiyya…maafkan saya kalau…”

“ Takpelah awak… mungkin Allah nak tunjukkan sesuatu di sini… mungkin hakikatnya, kisah kita sampai di sini saja… dan mungkin betul… kita perlu akhiri apa yang dah dirancang sebelum ni. Saya tak salahkan awak, dan takkan pernah salahkan awak. Saya yang tak mampu tanggung semua ni. Saya yang tak faham dengan kerjaya awak, apa yang awak impikan selama ni…” Suara si gadis bergetar di hujung talian. Sesak nafasnya demi mengatur bicara.

Saiful di sana tercengang mendengar butir kata yang terbit dari bibir Wafiyya. Dia mahu menuturkan sesuatu, tetapi seolah-olah tersekat di kerongkong. Ya Allah, apa yang harus aku lakukan? Hati di sana sudah benar-benar terluka.

“ Wafi…”
“Sudahlah awak… in sya’ Allah, saya akan cuba terima semua ni…awak jangan risau ye… biar saya yang terangkan pada mak saya, dan pada pakcik dan makcik… in sya’ Allah, mereka akan faham… dah bukan jodoh kita kan?” Tangisannya sudah tidak dapat dikawal lagi. Hatinya merintih pilu.

“ Wafi…saya tak bermaksud pun…”
“ Awak halalkan semua yang pernah kita kongsi bersama ye… saya pun dah halalkan… terima kasih atas segalanya… awak jaga diri baik-baik…kerja elok-elok… in sya’ Allah, awak akan berjaya…. Assalamualaikum…” Wafiyya mengakhiri bicara. Talian terus diputuskan. Telefon bimbit pemberian Saiful digenggam erat sebelum dipadamkan. Dia terus menyembamkan wajahnya ke katil. Nasib baiklah sedari tadi dia hanya berada di dalam bilik, kalau tidak, seisi rumah akan tahu perihal sebenarnya.

Saiful tergamam. Dia sama sekali tidak menyangka Wafiyya akan bertindak sebegitu rupa. Buah hatinya yang dikenalinya selama ini seorang yang sabar dalam melayan kerenahnya, sering menerima dirinya seadanya, kini seperti berbatu-batu jauh darinya. Malah sudah tidak nampak bayangnya.
Telefon bimbit terlepas dari genggaman. Wafiyya…

*********************************************************************************

“ Wafi, hang dah pikiaq masak-masak ka? Amirul tu muda lagi. Dia baru nak start kerja dia kat KL nu. Along bukan apa, takut-takut sat lagi hang nyesai, duk teghiak memanjang. Patutnya hang duk bincang 4 mata dulu dengan si Saiful. Ni dak, hang buat keputusan sendiri. Hang tak tau macam mana haghu perasaan dia nanti,” Wardina memandang simpati ke arah adiknya. Wafiyya pula sudah seminggu berkeadaan begitu, berkurung di dalam bilik, makan pula hanya apabila dia betul-betul terasa lapar. Seisi keluarga tidak mampu menjernihkan hatinya yang keruh.

“ 6 mata la Along, awat jadi 4 mata pulak?” Wafiyya berkata selamba.
Wardina tercengang. Lama-kelamaan barulah dia dapat menangkap gurauan adiknya itu. Dia menjegilkan mata sambil tangannya laju hinggap di lengan Wafiyya.

“ Aduh, sakitla Along..Wafi gurau ja. Sapa suh Along lampi sangat. Hehehe…” Wafiyya menggosok lengannya yang menerima cubitan bisa dari Wardina. Sekali-kala ingin bergurau, apa salahnya. Kakak sulungnya itu juga jarang pulang ke teratak mereka setelah mendirikan rumah tangga. Inilah masanya untuk mengukuhkan kasih sayang sesama adik-beradik.

“ Main-main lagi. Sat lagi Along panggil Saiful mai sini baghu hang tau.” Wardina mengugut Wafiyya, sekadar ingin melihat reaksi adiknya itu.

Senyum manis yang terukir di bibir Wafiyya sebentar tadi hilang apabila mendengar nama insan yang disayangi sepenuh hati itu. Tidak mungkin dia melupakan lelaki itu dalam sekelip mata. Lelaki yang telah berjanji untuk menggalas tanggungjawab arwah ayahnya. 6 tahun mereka membina hubungan bersulam cinta, 6 tahun Wafiyya memberi kesempatan untuk Saiful menstabilkan kerjayanya. Namun, masa itu tetap tidak cukup bagi seorang yang workaholic seperti Saiful. Dalam seminggu ini, sudah berkali-kali Saiful bertandang ke rumah mereka demi memujuk hati yang sedang berduka. Tetapi tidak sekalipun Wafiyya memberi peluang kepada lelaki itu untuk bersua muka dengannya. Keras benar hati gadis itu.

“ Along… in sya’ Allah… ini yang terbaik… Wafi bukan suka-suka buat keputusan lagu ni. Pasai Wafi pikiaq air muka mak, Along dan adik-adikla Wafi buat semua ni. Lagipun, Wafi yakin… mak, Along, Wardah…semua boleh terima keputusan Wafi ni kan?” Wafiyya menghadiahkan senyuman hambar kepada kakaknya. Dia berharap agar semua orang akan berlapang dada dengan keputusannya kali ini. Dia tahu, ibunya pasti memahami tingkah anak gadisnya yang seorang ini.

“ Hmm… Along tak tau nak cakap apa lagi dah.. Along nak hang happy ja.. kalau hang dah cakap lagu tu, Along terima ja lah… Along sokong Wafi..” Wardina duduk di sebelah Wafiyya dan memeluk bahu adiknya, menyalurkan semangat kepada adik yang sedang berdepan dengan masalah. Dia sebagai kakak yang sulung daripada 3 beradik itu cuba melakukan yang terbaik untuk mereka sekeluarga. Namun, Wafiyya sudah cukup besar untuk memikirkan baik dan buruk sesuatu perkara. Semoga Allah memudahkan urusan adikku ini... Wardina berdoa di dalam hati.

“ Terima kasih Along…” Wafiyya memandang kakaknya dengan rasa terharu. Inilah kakak yang sentiasa disanjungi.
“ Dah… sat lagi kan kita nak kluaq, nak cari barang yang tak cukup lagi. Hang pi mandi, macam apa dah Along tengok hang ni!” Giliran Wardina pula mengusik adiknya itu. Cepat-cepat dia berlari kelur dari bilik Wafiyya.
“ Alongggggggg!!!” Terdengar jeritan Wafiyya diiringi ketawa Wardina dari luar bilik.

*********************************************************************************

“ Macam mana ni mak… Epul dah tak tau macam mana nak pujuk Wafiyya tu.. mak tolonglah Epul mak…” Saiful pula semakin tidak keruan dengan tindakan kekasih hatinya itu. Sejak perbualan terakhir mereka di telefon seminggu yang lalu, sekalipun dia tidak dapat menghubungi Wafiyya. Telefon si gadis terus dimatikan. Dia telah mengambil cuti kecemasan selama beberapa hari untuk menyelesaikan masalah yang satu itu. Namun, Wafiyya langsung tidak memberikan sedikit pun kesempatan kepadanya untuk duduk berbincang. Dia sudah buntu memikirkan jalan penyelesaian bagi menjernihkan keadaan.

Pak Sahak dan isterinya Mak Kiah simpati melihat keadaan anaknya yang semakin kusut dan tidak terurus. Namun, mereka juga turut berasa marah dengan kerenah anak teruna mereka yang satu ini. Senang-senang nak minta tangguh tarikh perkahwinan?

“ Hang nak kami buat lagu mana lagi? Kami ni malu sangat pada keluarga Mak Milah hang tu. Ada ka patut hang pi mintak tangguh? Hang ingat soal nikah kawin ni macam makan kacang ka?? Epul, Epul…mak suka hang ada kerja besaq, gaji pon stabil… tapi mak tak suka hang mainkan perasaan anak dara orang. Abang, abang nasihat la pulak abak abang tu. Saya dah takdak kuasa nak melayan dah.” Sebaik menamatkan bicaranya, Mak Kiah bangun dari duduk dan berjalan ke biliknya. Saiful hanya memandang dengan rasa yang memberat. Kalau sudah ibu sendiri pun tidak mahu membantu, siapa lagi yang boleh diharapkan.

Pak Sahak sedari tadi hanya mendiamkan diri. Memang betul kata-kata isterinya itu. Anaknya itu seperti tidak berfikir panjang. Katanya seorang engineer, tahu mengukur sana sini. Tapi anaknya itu tidak mampu mengukur dasar hati Wafiyya. Malah, anaknya itu juga sudah biasa bertutur mengikut arus “orang KL”.  Nasib baiklah adab sopan seorang Melayu dan seorang yang beragama Islam tidak terhakis. Walaupun dia tidak mempunyai anak perempuan, namun dia adalah seorang suami kepada seorang isteri, anak kepada seorang ibu, adik kepada seorang kakak dan abang kepada adik-adiknya. Dia telah terlebih dahulu menikmati pelbagai rencah kehidupan. Namun dia sedar, manusia itu tidak lepas daripada melakukan sebarang kesilapan. Sebagai seorang bapa, dia harus bertindak dengan bernas.

“ Sudahlah Saiful. Hang pi balik KL dulu. Hang kata hang cuti berapa hari saja kan? Ni dah seminggu. Apa kata majikan hang nanti. Dah elok-elok dia percaya kat hang, hang pulak buat hal tak masuk kerja. Hang toksah nak pening kepala sangat. Kalau dah Allah tetapkan jodoh hang dengan si Wafiyya tu, kawin jugak hangpa nanti. Cepat ka lambat, semua Allah dah tetapkan. Cumanya, hang banyak-banyak lah berdoa pada Allah, moga-moga Allah mudahkan mana yang susah. Sudahlah, hang pi la masuk tidoq. Da lewat dah ni.” Pak Sahak menepuk bahu anaknya berulang kali, sedikit menenangkan hati anaknya yang gundah. Sejurus itu, dia mengatur langkah memasuki kamarnya.

Sedikit sebanyak Saiful terkesan dengan kata-kata luhur dari bapanya. Betul, sekarang ini sepatutnya dia tabahkan hati dan mendekatkan diri dengan Allah yang Maha Mendengar. Namun, kerana terlalu asyik dengan kesibukan kerja, dia bukan sahaja mengabaikan perasaan Wafiyya, malah dia leka dalam soal ibadah dan penghambaan diri kepada Yang Esa. Walaupun tidak sampai meninggalkan solat, namun solat di waktu kemuncak sudah menjadi kebiasaan bagi dirinya. Ibadah-ibadah sunat yang sering dilaksanakan dahulu sudah ditinggalkan. Ya Allah… lekanya aku dengan nikmat dunia yang sementara ini..

Dalam menungannya itu, kenangannya bersama Wafiyya menggamit ingatan. Dia teringat akan kata-kata Wafiyya suatu masa dahulu.
“ Awak, saya tak ada apa-apa yang boleh awak jadikan sandaran. Kerana saya hanya seorang perempuan yang seharusnya bersandar pada awak. Kalau suatu masa nanti, in sya’ Allah, kita ditakdirkan bersama… saya akan berusaha menjadi isteri yang solehah dan ibu yang baik pada anak-anak awak… dan yang paling penting, in sya’ Allah..saya akan setia di sisi awak..sebab saya adalah Wafiyya, yang setia..tapi awak kena ingat tau. Kalau awak main-mainkan saya, there is no turn back! Faham?!” Wafiyya menjegilkan mata kepada Saiful, seolah-olah memberi amaran. Dalam masa yang sama, dia berniat untuk bergurau dengan kekasih hatinya.

“ Uish, amaran keras la ni eh? Hehehehe.. in sya’ Allah… saya janji dengan awak, saya takkan sia-siakan awak, Wafiyya. Sebab saya tahu, hati awak hanya untuk saya. Dan hati saya juga hanya untuk awak. Dan kita berdua, adalah milik Dia..itu yang awak selalu cakap pada saya kan? Ingatan saya ni kuat tau.hehehehe,” Saiful turut menyambut gurauan si jantung hati. Dia juga yakin akan kata-katanya sendiri, tidak mungkin dia mampu untuk memiliki gadis yang lain seperti Wafiyya. Dan dia berjanji pada dirinya bahawa hanya Wafiyya yang akan menjadi suri hidupnya.

Air mata lelakinya menitis di pipi. Bagaimana janjinya pada Wafiyya dahulu? Ya Allah…kenapa aku tak fikir dahulu sebelum berkata-kata… aku dah hancurkan impian dia… aku dah musnahkan angan-angan kami… Ya Allah… beri aku kesempatan untuk memperbaiki keadaan… aku sayangkan dia Ya Allah… kuatkan jodoh kami… hanya itu yang aku pinta Ya Allah…
Saiful mengesat air mata yang bersisa, lalu bangkit dari duduknya. Tujuannya sekarang hanya satu, iaitu mempersembahkan diri kepada Allah Maha Besar. Semoga Allah mendengar rintihan hatinya, menenangkan gelodak jiwa, dan memakbulkan doanya…

*********************************************************************************
Bunga manggar sudah siap dipacak. Khemah sudah didirikan semalam. Kamar pengantin juga sudah siap dihias cantik bertemakan warna ungu kesukaan raja sehari. Rumah Mak Milah sudah dipenuhi jiran tetangga awal pagi lagi bagi membantu melicinkan perjalanan majlis. Beginilah hidup berjiran, saling membantu dan lengkap-melengkapi. Jika ada yang kurang, pasti ada yang berbesar hati menambah apa yang patut. Suasana riuh rendah memeriahkan hari yang bahagia.

Lain pula ceritanya di kamar pengantin. 3 beradik berkumpul bagi menenangkan pengantin perempuan yang sedang menahan debar. Jari-jemari yang berinai sejuk seperti ais apabila disentuh.
“ Kak Wafi, betul akak tak menyesal buat lagu ni? Wardah tak mau akak duk sedih lagi lepas ni…” Wardah memandang wajah kakak yang disayangi. Dia juga tidak menyangka perkara seperti ini akan terjadi. Kalaulah dia berada di tempat kakaknya, mampukah dia mengambil keputusan sedemikian?

Wafiyya pula hanya tersenyum kecil membalas kata-kata adiknya. Sudah banyak kali keputusannya dipersoalkan, namun hatinya tetap tidak goyah. Ini yang dia mahukan. Ini yang dia dan Saiful mahukan. Ini yang terbaik untuk mereka berdua. Tiba-tiba hatinya dipagut sayu. Saiful datang tak hari ni? Macam mana keadaan dia sekarang? Maafkan saya awak.. saya terpaksa buat macam ni..
“ Akak…?” Wardah menyentuh jemari Wafiyya apabila setitis air mata jatuh ke pipi kakaknya. Hati kakaknya masih belum terubat. Itu yang difikirkan saat ini. Wardina juga turut menggenggam tangan kedua-dua adiknya.

“ Wafi…Along sentiasa doakan kebahaagian Wafi…kebahagiaan Wardah… apa pon yang terjadi, kita orang perempuan ni kena kuat? Tau?” Wardina menyalurkan kata-kata semangat kepada adik-adiknya.
“ In sya’ Allah Along…Wardah… ini yang terbaik..” hanya itu yang mampu dituturkan oleh Wafiyya saat itu. Semoga apa yang berlaku pada hari ini mampu menjernihkan keadaan yang sedia keruh.
Bunyi paluan kompang berkumandang di luar sana. Pengantin perempuan menjadi semakin berdebar. Ketiga-tiga beradik memandang antara satu sama lain. seketika kemudian mereka tersenyum sesama sendiri. Wardina, Wafiyya dan Wardah keluar dari kamar pengantin. Dalam hati masing-masing berdoa agar semuanya akan berjalan dengan lancar.

Beberapa lama kemudian, acara akad nikah berlangsung. Dengan dua kali lafaz, mereka telah sah menjadi pasangan suami isteri. Mak Milah duduk di samping anaknya mengalirkan air mata kegembiraan. Detik ini, dia teringat akan arwah suaminya. Abang, anak kita dah kahwin…sendu hati tuanya. Wardina yang berada di sisi ibunya mengusap belakang badan ibunya, seperti memahami perasaan si ibu sekarang.

Saiful hadir lewat ke majlis tersebut. Dia hanya menyaksikan kemeriahan majlis itu dari jauh. Ajakan ibu bapanya untuk masuk ke dalam rumah pengantin ditolak lembut. Mana mungkin dia sanggup melihat insan yang pernah dimiliki hatinya berkahwin dengan lelaki lain. Namun, dia redha dengan segala ketentuan yang Allah takdirkan untuk dirinya. Dia tidak menyalahkan sesiapa. Ini semua adalah pengajaran bagi dirinya.
Dia berkira-kira untuk bergerak pergi, dan akan terus pulang ke Kuala Lumpur. Namun, tidak sampai beberapa langkah, dia ditegur dari belakang.

“ Assalamualaikum…”
Suara itu, seperti ku kenal. Tapi di mana ya? Tak kanlah…
“ Awak dah tak sudi nak pandang saya? Awak pulak merajuk dengan saya…” suara itu bergema lagi.
Dadanya bergetar hebat. Suara itu suara gadis kesayangannya. Tapi, mestilah dia datang jumpa aku dengan suami dia. Haish, apa aku nak buat ni. nak jalan terus macam x sopan pulak. Saiful berkira-kira di dalam hati.

“ Awak pandanglah saya sekejap..kalau awak nak pergi lepas ni, pergilah…” sayu sahaja suara itu bergemersik di telinganya.

Perlahan-lahan Saiful memusingkan badannya menghadap ke arah si gadis. Ya, memang betul, Wafiyya lah orangnya. Tapi… kenapa macam ada yang tak kena aje. Saiful memandang gadis itu dari atas ke bawah. Akhir sekali, pandangannya berlabuh ke wajah itu dengan bermacam-macam soalan.

“ Apa awak buat kat sini Wafi? Mana suami awak? Cepatnya awak salin baju. Kan ramai lagi orang yang datang nak tengok pengantin. Awak jangan risau, saya dah dapat terima kenyataan yang kita tak ada jodoh… awak pergilah pada suami awak… saya doakan semoga awak bahagia hingga ke akhir hayat Wafi… selamat pengantin baru…” Saiful menundukkan wajahnya yang suram. Tidak sanggup lagi untuk bertentang mata dengan gadis itu. Dia mendengar keluhan berat dari bibir Wafiyya.

“ Dah habis cakap?” suara itu kedengaran bersahaja.

Saiful mengangkat wajah, menentang mata Wafiyya yang redup.
“ Haaa?”
“ Saya tanya, awak dah habis cakap? Awak ni memang tak berubah kan. Cakap melulu je. Tak fikir habis-habis dulu.”

Saiful tahu, Wafiyya memerlinya dalam diam. Dia tersengih seperti kerang busuk.

“ Dah memang betul kan apa yang saya cakap?huhuhuhu..” Saiful mempertahankan diri.

Wafiyya tersenyum kecil menanggapi kata-kata lelaki di hadapannya itu. Betapa dia rindu untuk menatap seraut wajah yang memenuhi hatinya dahulu hingga sekarang.

“ Itulah…pakcik dan makcik dah ajak awak masuk rumah kan? Awak yang taknak ikut. Mengada-ngada lah tu.. awak dah tengok kad jemputan kahwin yang baru tu?”

“ Dah…” Saiful menjawab tidak bermaya.

“ Siapa pengantin lelakinya?” Wafiyya bertanya lagak seorang guru bertanya kepada anak muridnya.
“ Amirul…”
“ Pengantin perempuan?”
“ Siapa lagi? Awaklah!” Saiful menjawab geram. Hish, dia ni nak main-main dengan aku pulak. Ingat aku ni budak sekolah rendah ke.

“ Betul ke… cer awak tengok betul-betul…” Wafiyya menghulurkan sekeping kad jemputan kepada Saiful.
Saiful menyambutnya perlahan-lahan. Layankan saje lah perempuan ni. Saje je nak sakitkan hati aku.
“ Haaa. Awak dengar saya baca kuat-kuat ni. Amirul Hafiz dan Wardah!” Saiful membaca dengan kuat. Tiba-tiba dia terdiam. Cepat-cepat dia memandang kad tersebut sekali lagi.

“ War…War…Wardah…Wardah? Wardah tu kan adik awak? Jadi, yang nikah kat dalam tu…Wardah? Bukan awak? Wafi?” Saiful benar-benar kebingungan. Apa yang terjadi sebenarnya?

Wafiyya tertawa kecil melihat wajah kebingungan itu. Tidak menyangka sebegitu buruk sekali reaksi yang dipamerkan. Sempat lagi hatinya mengutuk.

“ Pertama sekali, saya mintak maaf dengan awak… saya tahu apa yang saya lakukan pada awak ni menyiksa hati awak..bukan awak aje tau..hati saya jugak…sebenarnya, saya mintak izin dari mak untuk langsungkan perkahwinan Wardah dan Amirul dulu..lagipun diorang memang suka sama suka…jadi saya pun tukar plan last minute … family Amirul datang merisik, bertunang…dan hari ni, diorang pun kahwinlah. Pakcik dan makcik pun tahu pasal ni… Cuma saya yang tak benarkan diorang bagitahu pada awak… sebab saya nak bagi pengajaran pada awak… dan, saya kan dah janji nak tunggu awak… “ Wafiyya menjelaskan perkara sebenar. Dia memandang wajah Saiful, menantikan kata-kata yang bakal terluah dari bibir lelaki itu.

Tiba-tiba, Saiful berlari meninggalkan Wafiyya dan memasuki rumah raja sehari. Wafiyya pula terkejut dengan tindakan lelaki itu. Kenapa mamat ni? Dah tak betul ke? Takkan lah… Wafiyya menjadi gusar.
Selang beberapa minit, Saiful berlari kembali ke arah Wafiyya. Orang ramai yang melihat mempamerkan wajah tertanya-tanya.

Saiful menyembunyikan sesuatu di belakang badan dengan tangan kanannya. Wajahnya serius. Wafiyya pula semakin kalut memikirkan apa yang akan dilakukan oleh Saiful. Nak balas dendam ke?

Tidak semena-mena, Saiful berlutut di hadapan Wafiyya. Wafiyya pula cepat-cepat memejamkan mata, takut untuk menyaksikan apa yang bakal terjadi.

“ Wafiyya binti Ismail, sudikah awak menerima saya kembali dalam hidup awak? Menjadi imam kepada awak dan anak-anak kita nanti? Dan menjadi pencinta yang setia kepada saya?” Saiful bersungguh-sungguh melafazkan kata-kata yang ikhlas dari hatinya.

Wafiyya terus membuka matanya luas-luas. Dia melihat wajah Saiful yang penuh pengharapan, di samping tangan kanannya menghulurkan sekuntum bunga… telur. Bunga telur?
Orang sekeliling yang melihat adegan itu sudah ketawa terbahak-bahak. Tidak kurang juga ada yang bertepuk tangan.

“ Terima sajelah!” suara-suara sumbang bersahut-sahutan.
Wafiyya terkedu dengan tindakan mengejut Saiful itu. Dia ingin ketawa, tetapi melihatkan kesungguhan lelaki di hadapannya itu, dia membatalkan niatnya.

“ Saya akan terima…dengan syarat…” Wafiyya bermain kata.
“ Awak letaklah syarat apa pun. Saya janji saya akan ikut.” Saiful bersungguh-sungguh menyakinkan Wafiyya.
“ Jangan janji…tapi in sya’ Allah… pernikahan kita mesti berlangsung dua minggu dari sekarang. Tak ada tunda-tunda lagi. Ok?”
“ Alah… dua minggu?”
“ Haaa. Tengok tu. Tadi bukan main berjanji.” Wafiyya tidak puas hati.
“ Kenapa bukan minggu depan je? Mak, abah! Epul nak kahwin dengan Wafi minggu depan! Tak kira!” Saiful melaung memanggil ibu dan bapanya. Mata Wafiyya terbeliak melihat perangai tiga suku jantung hatinya.

Mak Kiah dan Pak Sahak yang terdengar laungan anak mereka dari dalam rumah hanya ketawa geli hati.
“ Berbesan jugak kita Milah…alhamdulillah..” Rupa-rupanya perbincangan dua belah pihak telah pun berlangsung di dalam rumah. Mak Milah dan Wardina pula tersenyum gembira. Alhamdulillah… mesti Wafi gembira kan sekarang. Wardina berkata dalam hati.

 “ Terima kasih sayang…sebab awak setia menunggu saya… in sya’ Allah… saya akan cuba jadi yang terbaik untuk awak… hanya untuk awak Wafiyya, yang setia…” Saiful menghadiahkan senyuman paling manis kepada sang puteri. Tekadnya di dalam hati, tidak ada lagi yang perlu ditangguhkan. Semuanya harus disegerakan. Wafiyya di sisinya sudah pun mengalirkan air mata. Gembira dan terharu. Itu yang dirasakan sekarang. Ya Allah, jika ini ganjaran atas pengorbanan yang aku lakukan… terima kasih Ya Allah.. pimpinlah kami menuju redha-Mu…

Sehelai sapu tangan dihulurkan kepada Wafiyya bagi menghapus air mata itu buat selama-lamanya. Pergilah duka… hadirlah bahagia.

P/S: inilah keinambungan dari Saya Tunggu Awak…=)